Monday, February 4, 2013

love bite selepas lafaz cerai


Saya mempunyai seorang kakak ipar yang sudah bercerai dengan suaminya. Dia diceraikan melalui kata-kata dilafazkan suaminya secara sedar, tetapi proses perceraian melalui mahkamah belum lagi dilakukan dan belum disahkan.
Namun, saya mendapat tahu suaminya sering mengunjunginya dengan alasan menjenguk anak, tapi dalam masa yang sama ingin ‘bersama’ dengannya. 
Saya tidak pasti sama ada mereka sudah mengadakan hubungan intim (persetubuhan) atau tidak, tetapi sebelum ini saya pernah lihat mereka berpelukan, malah di leher kakak ipar saya ada kesan gigitan cinta. 

Daripada apa yang kakak ipar saya ceritakan, mereka seperti sudah mengadakan hubungan intim beberapa kali selepas kejadian lafaz cerai itu sedangkan mereka tiada niat untuk rujuk kembali. Kakak ipar saya nekad untuk bercerai, tetapi dia masih mengadakan hubungan dengan suaminya. Apakah hukumnya Dr?

Elina,
Melaka 


Secara umum perceraian yang berlaku di luar Mahkamah Syariah (Pejabat Agama) hendaklah dilaporkan dalam masa tujuh hari. Mahkamah akan mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada talak yang dilafazkan itu adalah sah mengikut hukum syarak. 

Apabila mahkamah berpuas hati bahawa talak adalah sah, maka ia akan membuat perintah membenarkan perceraian dengan talak, merekodkan perceraian itu dan menghantar salinan rekod kepada pendaftar. Ini yang sepatutnya dilakukan oleh kakak ipar anda. 

Jika hubungan suami isteri kembali intim selepas perceraian talak raj’i, rujuk boleh berlaku secara perbuatan dalam masa idah seperti perbuatan mencium dan hubungan intim. Ia dikira sebagai bersekedudukan semula dan perlu juga dilaporkan kepada mahkamah. 

Dengan kata lain, perceraian perlu direkodkan terlebih dahulu dan diikuti dengan bersekedudukan semula sebagai suami isteri. Ini penting dalam penentuan bilangan talak dan rujuk. 

Sekiranya isteri (kakak ipar) tidak bersetuju untuk hidup semula sebagai suami isteri atas sebab yang dibenarkan syarak, pihak mahkamah hendaklah melantik jawatankuasa pendamai bagi menyelesaikan masalah antara kedua-duanya. 

Keputusannya bergantung kepada mereka berdua sama ada ingin berbaik-baik semula sebagai suami isteri atau suami terpaksa melafazkan talak kali kedua di mahkamah. 

Ini akan berlaku sekiranya kakak ipar berkeras mahu bercerai. Tindakan segera perlu diambil oleh saudari, kakak ipar atau keluarga bagi menyelesaikan persoalan ini daripada berpanjangan sehingga boleh menyebabkan masalah di masa hadapan. Ia perlu ditangani secara baik. 

Dalam hal ini, keluarga terdekat boleh diminta nasihat dan pertolongan agar masalah di atas dapat diselesaikan, sekali gus rumah tangga kembali aman dan bahagia.

No comments:

Post a Comment